29 MEI : Ada pihak yang cuba menangguk dalam air keruh susulan peletakan jawatan dua menteri Kabinet, semalam.
Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang membangkitkan perkara itu susulan tular mesej dalam aplikasi WhatsApp kononnya 11 Ahli Parlimen PKR menarik sokongan terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Mengarut! (Datuk Seri) Rafizi (Ramli) dan Nik Nazmi (Nik Ahmad letak jawatan Kabinet untuk menjaga adab dan semangat demokrasi.
“Yang lain tak perlu nak menangguk di air keruh. Noktah,” tegas Menteri Sains Teknologi dan Inovasi itu dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan mereka dalam Kabinet.

Keputusan itu dibuat selepas mereka gagal mempertahankan jawatan dalam Pemilihan PKR 2025.
Penyebaran khabar angin itu jelas tidak berasas susulan mereka yang disenaraikan itu masih bertugas seperti biasa.
Ini termasuk Lih Kang dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun masih menjalankan tugas masing-masing dalam Kabinet dan kerajaan negeri.
Malah ia dinafikan tuan punya badan sendiri yang sekali gus jelas membuktikan bahawa mesej yang tersebar itu hanya rekaan semata-mata untuk menimbulkan kegusaran kononnya kerajaan hari ini sedang tidak stabil.
*OLEH : HANUM RAJAK