29 MEI : Dua jawatan menteri Kabinet yang dikosongkan masih belum boleh diisi susulan kedua-duanya masih dalam tempoh bercuti.
Demikian reaksi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkait perkembangan perkara itu.
Menurutnya, menteri tersebut masih belum boleh diganti untuk masa ini.
“Tidak ada, mereka masih bercuti, tidak boleh ganti masa orang bercuti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkait rombakan Kabinet selepas menghadiri perjumpaan dengan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Semalam, Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan perletakan jawatan selepas masing-masing tewas dalam Pemilihan PKR.
Peletakan jawatan Rafizi berkuat kuasa 17 Jun 2025, sementara Nik Nazmi mulai 4 Julai 2025 dan kini kedua-duanya sedang menghabiskan baki cuti tahunan mulai semalam.
Kedua-duanya menghantar surat permohonan cuti dan peletakan jawatan kepada Anwar, semalam yang disahkan Pejabat Perdana Menteri (PMO).
Menurut PMO, Anwar bersetuju meluluskan cuti mereka setelah meneliti permohonan tersebut.