30 MEI : Penggunaan tong gas bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram (kg) bersamaan tiga tong gas bersaiz 14 kilogram pada satu-satu masa tidak memerlukan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).
Namun penggunaan melebih 42 kg itu tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam menasihatkan peniaga yang menggunakan gas petroleum cecair (LPG) melebihi had dibenarkan itu agar memohon permit berkenaan.
Menurutnya, KPDN melaksanakan Ops Gasak bermula 1 Mei lalu hingga 31 Oktober depan yang menumpu kepada penguatkuasaan ketirisan subsidi LPG.
“Bagi membanteras penyelewengan melalui aktiviti haram decanting iaitu pemindahan LPG dari tong bersubsidi kepada tong tidak bersubsidi untuk jualan komersial dan penyeludupan.
“Mengekang penggunaan LPG bersubsidi kepada industri berskala sederhana dan besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, punca kuasa utama operasi itu berdasar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
Katanya, pemeriksaan dijalankan penguat kuasa KPDN di premis-premis jualan makanan dan minuman kini pada peringkat advokasi, semakan dan pemakluman tanggungjawab pematuhan kepada undang-undang dan peraturan sedia ada termasuk PPKB (Pindaan) 2021 yang berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021.
“Sepanjang tempoh Ops Gasak, tidak ada sebarang tindakan undang-undang diambil kepada perniagaan perkhidmatan jualan makanan dan minuman berhubung keperluan memiliki PBKB bagi LPG,” katanya.
Selain itu katanya, sepanjang tempoh operasi itu pembekal LPG masih dibenarkan untuk terus membekalkan tong LPG bersubsidi kepada pelanggan sedia ada termasuk peniaga perkhidmatan jualan makanan dan minuman meski mereka belum memiliki PBKB.
*Foto : Facebook KPDN-Perak