30 MEI : Israel dilapor menerima cadangan terbaharu Amerika Syarikat berkait gencatan senjata dengan Hamas.
Sementara Hamas pula semalam berkata pihaknya sedang meneliti cadangan dikemukakan bagi mencapai gencatan senjata kekal yang memberi kelegaan demi kepentingan rakyat.
AS menghantar utusan khas, Steve Witkoff untuk berunding dengan Israel dan Hamas.
Namun Witkoff didakwa tidak pernah bertemu secara langsung dengan Hamas sebaliknya menggunakan orang tengah, seorang ahli perniagaan Palestin-Amerika, Bishara Bahbah bagi membincangkan cadangan itu.
Lapor CNN, pegawai Israel memaklumkan cadangan itu melibatkan pembebasan 10 tebusan hidup dan 18 yang meninggal dunia serta gencatan senjata selama 60 hari.
Setakat ini, tiada butiran berkait rundingan ke arah penamatan perang secara kekal yang merupakan tuntutan utama Hamas namun sehingga kini ditolak Israel.
Sementara itu, Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang Israel juga berkata dimaklumkan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa beliau bersetuju dengan cadangan Witkoff.