Libatkan generasi muda dalam tadbir urus : PM

30 MEI : Generasi muda perlu dilibatkan dalam tadbir urus di semua peringkat baik di pusat mahupun negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan penglibatan secara langsung golongan itu penting bagi memastikan perancangan dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau mengingatkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Fasa Pertama Projek EsteelEnterprise Sabah Sdn Bhd, Taman Perindustrian Minyak & Gas Sipitang (SOGIP) di Kota Kinabalu, hari ini.
“Saya menegaskan bahawa kestabilan sistem politik, kejelasan dasar terutamanya dasar ekonomi serta kecekapan pelaksanaan adalah prasyarat utama yang perlu ada untuk memastikan kejayaan tadbir urus, sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan negeri.
“Namun begitu, kejayaan ini tidak akan lengkap tanpa penglibatan aktif generasi muda dan anak tempatan, termasuk dari Sabah.
“Mereka perlu dilibatkan secara langsung dalam pembangunan agar dasar dan projek yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta dilaksanakan secara berkesan,” katanya.
Anwar berkongsi intipati ucapannya itu dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam hantaran sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan menekankan kepentingan kepentingan pendedahan awal dan latihan kemahiran yang sesuai kepada tenaga kerja baharu.
Jelasnya, ia supaya mereka dapat kembali menyumbang sebagai individu yang berkebolehan dan berdaya saing dalam kapasiti pekerjaan masing-masing.
Menurutnya lagi, kejayaan Malaysia dalam menarik pelaburan serta membina kerjasama strategik tidak datang daripada retorik semata-mata namun hasil melalui dasar yang jelas, pentadbiran yang telus serta tindakan yang berprinsip dan konsisten.
“Inilah asas kita dalam membina masa depan Malaysia yang lebih mampan, inklusif dan berdaya tahan,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK