Perangi rasuah di semua peringkat, pesan PM

30 MEI : “Perjuangan menentang rasuah mesti dijalankan di semua peringkat”.
Demikian ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Penampang, hari ini.
Beliau turut menegaskan dirinya tidak campur tangan dalam siasatan terhadap mana-mana kes rasuah di negara ini apatah lagi memberi arahan sewenang-wenangnya.
Jelasnya, sebarang pendakwaan kes rasuah hanya boleh dilakukan dengan bukti, mengikut prosedur dan bukannya berdasar kepada arahan semata-mata.
“Saya bukan diktator yang (arah) tangkapan serta-merta. Saya tidak mahu menjadi Perdana Menteri yang bersikap ‘Oh kita mesti tangkap’ atau ‘kita mesti dakwa’.
“Hakikatnya, perjuangan menentang rasuah mesti dijalankan di semua peringkat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata sebagai perdana menteri, beliau bertanggungjawab mengekalkan keamanan dan menegakkan undang-undang di negara ini.
Menyentuh soal video tular dikaitkan dengan wakil rakyat di Sabah yang terpalit skandal prospek perlombongan, Anwar berkata beliau akui ada menanyakan perkembangan kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Jelasnya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan berkait kes itu.
“Tetapi apabila keadaan menjadi lebih hangat, sudah tentu saya bertanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenainya.
“Orang mempersoalkan mengapa saya tidak campur tangan seolah-olah menggambarkan saya cuba menutup dakwaan rasuah itu.
“Kita bukan negara yang berpandukan persepsi. Perkara-perkara ini tidak boleh ditangani berdasarkan persepsi, tuduhan dan fitnah,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar mahu kesemua pemimpin negeri dan masyarakat Sabah bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan.
Perkara itu penting katanya bagi meningkatkan pembangunan sosioekonomi dan memperjuangkan hak rakyat di negeri itu.
