30 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melantik Menteri Ekonomi baharu segera bagi menggantikan Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletakkan jawatan, baru-baru ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata menteri baharu itu penting memandangkan kerajaan dijadual untuk membentang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Julai ini.
Katanya, RMK13 perlu diurus sebaiknya yang memerlukan penelitian lengkap sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Draf RMK13 itu sudah disediakan Rafizi yang menerajui Kementerian Ekonomi dan akan dibentangkan Perdana Menteri.
“Jadi saya berpandangan Menteri Ekonomi sangat penting ketika ini bagi memeriksa dan meneliti draf RMK13 sebelum ia dibentangkan Julai nanti.
“Bagaimanapun, pelantikan Menteri Ekonomi baharu itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Vokasional Tanjung Piai, hari ini.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri mengesahkan Anwar sudah menerima permohonan cuti dan peletakan jawatan Rafizi.
Rafizi bersama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan peletakan jawatan selepas tewas dalam Pemilihan PKR 2025.
Semalam, Anwar berkata dua jawatan menteri Kabinet yang dikosongkan masih belum boleh diisi susulan kedua-duanya masih dalam tempoh bercuti.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menzahirkan penghargaan atas khidmat menteri terbabit sepanjang dalam Kabinet.
“Sebagai teman, saya mengucapkan terima kasih atas segala khidmat mereka. Keputusan mereka adalah keputusan dalaman parti mereka,” katanya.
Sementara itu, Ahamd Maslan berkata dari segi logik politik, pengganti dua menteri tersebut tentunya dari parti yang sama.
“Sama ada daripada PKR atau sesiapa saja, itu terpulang kepada Perdana Menteri.
“Namun, tentunya pimpinan PKR mendesak kekosongan itu diganti individu daripada parti itu juga, itu logik politiknya.
“UMNO melihat dari jauh segala perkembangan yang ada, namun rakyat mungkin melihat dari dekat apa yang berlaku,” katanya.