Kenyataan Media
Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera.
Pada hari ini, saya telah menghantar surat peletakan jawatan saya kepada pucuk pimpinan UMNO. Di dalam surat tersebut, saya telah menyatakan keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO.
Keputusan ini bukan sebuah keputusan yang mudah. Sebelum membuat keputusan ini, saya telah meminta nasihat dan pandangan dari sahabat-sahabat saya dari dalam dan luar parti termasuk dari YAB Presiden sendiri.
Saya telah mengambil masa yang agak panjang untuk memikirkan keputusan ini secara mendalam terutamanya kerana UMNO adalah satu-satunya parti politik yang saya pernah sertai, sejak tahun 1997 lagi. Akhirnya, keputusan ini dibuat setelah bermuhasabah diri dan mengambil kira pelbagai faktor terutamanya faktor keserasian dan kesesuaian.
Pada masa yang sama, saya telah menyatakan niat untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Presiden dan Setiausaha Agung PKR. Saya akan mengikuti proses permohonan lazim untuk menjadi ahli PKR.
Saya ingin mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan, penyokong dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak memberi saya sokongan dan dorongan sepanjang saya aktif di dalam UMNO. Jasa anda tak mungkin akan terbalas dan akan saya kenang sampai bila-bila. Terima kasih.
Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz