ASEAN pertahan kedudukan melalui kerjasama erat

31 MEI : ASEAN terus mempertahankan kedudukannya dalam mendepani cabaran global melalui kerjasama erat dan ketahanan bersama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ASEAN berpegang pada sistem perdagangan yang terbuka kerana ia satu keperluan demi kelangsungan rantau ini.
“Sewaktu menyampaikan Ucapan Khas pada Dialog Shangri-La, saya tegaskan bahawa forum ini amat penting untuk mencari titik persefahaman ketika dunia berdepan pelbagai cabaran global.
“ASEAN tidak terkecuali daripada tempias perubahan teknologi, ketidaktentuan ekonomi, arus globalisasi, pergolakan perdagangan dan ketegangan geopolitik.
“Justeru, ASEAN terus mempertahankan kedudukannya melalui kerjasama erat, ketahanan bersama dan pelaksanaan hak menentukan halatuju sendiri secara konsisten.
“Komitmen ASEAN terhadap sistem perdagangan yang terbuka, telus dan berasaskan peraturan bukanlah kerana ia mudah, tetapi kerana ia satu keperluan demi kelangsungan rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kestabilan di benua ASEAN merupakan tunjang utama yang perlu dibina atas asas kukuh, dasar yang jelas dan wawasan jangka panjang demi menjamin keamanan yang berkekalan.
Selain itu, beliau turut mendesak masyarakat antarabangsa supaya bertindak tegas dan konsisten dalam menangani pembunuhan beramai-ramai di Gaza, tidak cukup sekadar bersimpati sahaja.
Terdahulu, Anwar ke Singapura bagi menyampaikan perutusan khas pada Dialog Shangri-La ke-22.

*OLEH : HANUM RAJAK