31 MEI : Komitmen Malaysia dalam menyediakan dan memastikan ruang digital yang selamat serta bertanggungjawab di negara ini wajar dijadikan contoh terbaik oleh negara Asia Tenggara lain.
Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF), Mediha Mahmood berkata Malaysia bukan sahaja menunjukkan kepimpinan dalam memacu keselamatan digital serantau menerusi Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk Asia Tenggara tetapi turut memperkenalkan pendekatan holistik yang progresif dan berkesan bagi rantau itu.
Katanya, Malaysia sudah menunjukkan langkah proaktif dengan meminda dan menggubal undang-undang berkaitan dengan keselamatan dalam talian termasuk pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia serta inisiatif pelesenan platform media sosial.

“Malaysia turut memperkenalkan kerangka kawal selia kendiri unik di mana pihak industri, komuniti, akademik dan pencipta kandungan bekerjasama untuk menetapkan piawaian kandungan yang sesuai dengan budaya dan norma tempatan.
“Selain itu, penguatkuasaan yang tegas dan tepat oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan lagi usaha kawal selia kendiri ini.
“Deklarasi Kuala Lumpur ini bukan sekadar dokumen dasar, ia adalah komitmen bersama ASEAN untuk memperkukuh budaya keselamatan dan tanggungjawab dalam dunia digital,” katanya kepada BBCPORTAL.
Pada Jumaat, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial yang Selamat dan Bertanggungjawab untuk Asia Tenggara akan diterima pakai secara rasmi pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober depan.
Selain itu katanya, Malaysia juga sedang meneroka penubuhan Kit ASEAN untuk Keselamatan Dalam Talian yang bertujuan mengumpulkan sumber praktikal dan amalan terbaik daripada negara-negara anggota.
Dalam pada itu, Mediha berkata ASEAN perlu memperkukuh usaha kolektif dalam mempromosikan tingkah laku dalam talian yang bertanggungjawab kerana kandungan yang bersifat penyebaran kebencian dan penipuan boleh tersebar dengan cepat serta memberi kesan meluas kepada seluruh rantau ini.
“Kerjasama erat antara negara-negara ASEAN amat penting dalam menghadapi cabaran ini…dengan adanya panduan bersama serta nilai yang selari, ASEAN boleh bertindak balas dengan lebih cepat dan berkesan melalui kolaborasi antara agensi kerajaan.
“Tindakan bersama ini akan membantu mengawal penyebaran kandungan berbahaya dan memastikan ruang digital yang lebih selamat untuk semua khusunya golongan remaja dan kanak-kanak,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL