31 MEI : Malaysia dilantik sebagai Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bagi penggal 2025 hingga 2029.
Selain itu, Malaysia turut dilantik sebagai Ahli Lembaga Eksekutif UN-Habitat.
Menurut Kementerian Luar Negeri, pemilihan Malaysia secara sebulat suarat itu dibuat dalam Perhimpunan UN-Habitat di Nairobi, Kenya, semalam.
“Nga Kor Ming selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mewakili Malaysia dan mempengerusikan perhimpunan itu sebagai Presiden bagi tempoh dua tahun mulai Jun 2024 hingga Jun 2027.
“Malaysia akan menyandang salah satu daripada 36 kerusi Lembaga Eksekutif UN-Habitat bagi tempoh dua tahun bermula Jun 2027 hingga Jun 2029,” kata kenyataan itu.
Menurut kementerian itu, perhimpunan UN-Habitat dan Lembaga Eksekutif merupakan mekanisme utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menentukan hala tuju dasar pembangunan bandar mampan dan penempatan manusia.
“Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kesemua 193 Negara Anggota Perhimpunan UN-Habitat atas sokongan padu dan keyakinan yang diberikan kepada Malaysia untuk menerajui perhimpunan dan mengemudi Lembaga Eksekutif ke arah pelaksanaan Agenda Bandar Baharu PBB bagi tempoh 2025 hingga 2029.
“Kementerian Luar Negeri khususnya melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi selaku Wakil Tetap Malaysia ke UN-Habitat, akan terus menjalin kerjasama erat dengan KPKT bagi memastikan tugas Malaysia dalam tadbir urus badan dunia ini mencapai kejayaan yang cemerlang,” kata kementerian itu lagi.
*Foto : Facebook Nga Kor Ming
*OLEH : HANUM RAJAK