Malaysia mahu terus anggotai The International Telecommunication Union
31 MEI : Malaysia menyatakan hasrat untuk meneruskan keanggotaan dalam The International Telecommunication Union (ITU) bagi sesi 2027-2030.
Perkara itu disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kepada negara-negara anggota Asia-Pacific Telecommunity (APT) bagi mendapatkan sokongan.
“Dalam beberapa perjumpaan dua hala sempena Mesyuarat Menteri APT, saya menyatakan hasrat Malaysia untuk meneruskan keanggotaan sebagai Ahli Majlis dalam ITU bagi sesi 2027-2030.
“Hasrat ini disampaikan kepada negara-negara anggota APT agar mereka dapat memberikan sokongan yang berterusan kepada Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi yang mengetuai delegasi Malaysia ke Tokyo Jepun bagi menghadiri mesyuarat itu berkata sebagai Ahli Majlis, Malaysia memainkan peranan dalam menentukan hala tuju dasar strategik ITU, mengawasi pelaksanaan keputusan yang dibuat semasa persidangan serta mewakili kepentingan rantau Asia dan negara membangun dalam bidang telekomunikasi juga infrastruktur digital.
“Perkara ini juga antara yang dibincangkan dalam pertemuan saya dengan Murakami Seiichiro, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi Jepun serta Zhang Yunming, Naib Menteri Industri dan Teknologi Maklumat, China,” katanya.
Dalam pada itu, kata Fahmi menerusi perbincangan dua hala dengan Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU, Dr Cosmas Luckyson Zavazava, beliau menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi Kerajaan MADANI dalam memastikan rangkaian Internet yang lebih selamat untuk pengguna di Malaysia serta memperluas liputan ke seluruh pelosok negara.
Selain itu, Fahmi memaklumkan pihak ITU juga menjemput Malaysia menghadiri beberapa sidang kemuncak yang dianjurkan termasuk di Riyadh, Arab Saudi pada awal September dan di Baku, Azerbaijan pada bulan November.
*OLEH : HANUM RAJAK