Kenyataan Media Jabatan Peguam Negara Malaysia
Jabatan Peguam Negara (AGC) mengambil maklum kenyataan awam berkaitan permohonan oleh YAB Perdana Menteri untuk merujuk beberapa soalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Pemerhatian awal AGC, soalan-soalan yang dirujuk tersebut tidak bertujuan untuk mewujudkan kekebalan mutlak bagi mana-mana individu. Sebaliknya, soalan-soalan itu membangkitkan isu Perlembagaan yang baharu dan belum pernah diputuskan, khususnya yang berkaitan dengan hubungan antara litigasi sivil dan keupayaan seorang Perdana Menteri yang sedang memegang jawatan untuk melaksanakan fungsi Eksekutifnya dengan berkesan.
Lapan soalan tersebut merangkumi, antara lain:
a. sama ada tindakan sivil berkaitan perbuatan sebelum memegang jawatan boleh diteruskan sekiranya ia menjejaskan keupayaan Perdana Menteri untuk mentadbir;
b. sama ada Perlembagaan secara implikasi memerlukan semakan ambang kehakiman dalam kes-kes seperti ini; dan
c. sama ada Perkara 5(1), 8(1), 39, 40, dan 43 Perlembagaan Persekutuan menyokong perlindungan prosedural bagi menjaga pemisahan kuasa dan kestabilan institusi.
Ini adalah soalan struktur mengenai tadbir urus Perlembagaan, bukan soalan mengenai kekebalan peribadi. Proses rujukan Perlembagaan diwujudkan bagi membolehkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan membuat penentuan yang muktamad terhadap isu-isu sebegini.
AGC menghormati integriti mekanisme Perlembagaan ini dan akan menilai sebarang permintaan untuk campur tangan berdasarkan merit undang-undang dan kepentingan awam, bukan sentimen yang berbaur politik.
AGC menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai kesan peruntukan Perlembagaan adalah terletak sepenuhnya dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan menurut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.
JABATAN PEGUAM NEGARA