PM bincang isu sempadan, tenaga boleh diperbaharui dengan Singapura

31 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertukar pandangan pelbagai isu dua hala dengan dua pemimpin Singapura, hari ini.
Ini termasuk isu sempadan, maritim, air dan tenaga boleh diperbaharui.
“Mengakhiri lawatan kerja singkat ke Singapura, saya telah mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat, Lawrence Wong serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Tharman Shanmugaratnam.
“Kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala yang memerlukan kerjasama lebih erat pada masa hadapan termasuk soal sempadan, maritim, air, tenaga boleh diperbaharui serta inisiatif strategik seperti Grid Tenaga ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook selepas lawatan ke kota singa itu.
Selain itu, menurut Anwar perbincangan itu turut meneliti kemajuan projek penting seperti Laluan Sistem Transit Laju Johor Bahru–Singapura (RTS Link) yang dijangka siap menjelang akhir 2026.
Selain itu katanya, turut disentuh berkait pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang akan memacu pertumbuhan ekonomi serantau.
“Insya-Allah, lawatan ini membawa manfaat besar dan menggandakan hasil kerjasama antara Malaysia dan Singapura dalam pelbagai sektor strategik.
“Semoga hubungan persahabatan kedua-dua negara terus diperkukuh demi kemakmuran bersama,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK