31 MEI : Pengunduran dua menteri PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad memicu perdebatan hangat mengenai hala tuju parti itu.
Namun pemerhati melihat tindakan kedua-dua pemimpin itu bukan pengakhiran sebaliknya ia mampu mencetus kepada permulaan sistem politik yang lebih matang dan berdaya saing di negara ini.
Penganalisis Politik Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata pengunduran mereka bukanlah petanda kelemahan politik namun sebaliknya ia membuka ruang kepada pemimpin generasi baharu untuk membawa pembaharuan serta memperkukuh budaya demokrasi yang lebih sihat dan dinamik.
“Sistem politik yang berdaya saing tidak hanya bergantung kepada seorang individu semata-mata, sebaliknya kepada sistem yang mampu melahirkan pemimpin berkebolehan dan berintegriti.
“Di sinilah peranan rakyat sebagai pengundi dan warganegara menjadi sangat penting kerana mereka harus memastikan bahawa proses ini berlaku secara terbuka, adil dan tidak terjebak dalam politik peribadi,” katanya kepada BBCPORTAL.
Dalam pada itu, Hussain berkata kestabilan politik merupakan tonggak utama dalam menentukan kemakmuran sesebuah negara kerana ia merupakan prasyarat penting untuk memacu pembangunan ekonomi yang lestari dan inklusif.
Justeru itu, katanya rombakan Kabinet yang berlaku selepas ini berpotensi memperkukuh pentadbiran negara sekiranya dilakukan dengan bijak serta berdasarkan kebolehan sebenar ahli Kabinet baharu.
“Namun, rombakan yang kerap atau bersifat reaktif semata-mata kepada tekanan politik boleh mengundang ketidaktentuan dan mengganggu dasar ekonomi jangka panjang.
“Oleh itu, tumpuan kepada kestabilan politik dan ekonomi wajar dijadikan keutamaan oleh semua pihak…ini bukanlah bermakna isu rombakan Kabinet tidak penting, tetapi ia perlu dilaksanakan secara berhati-hati dengan matlamat utama untuk memperkukuh pentadbiran negara dan bukan sekadar memenuhi kepentingan politik sempit,” katanya.

Dr G. Manimaran (kiri) dan Dr Hussain Yusri Zawawi.
Sementara itu, penganalisis politik bebas, Dr G. Manimaran berkata kekosongan jawatan dalam Kabinet harus diisi segara bagi mengelakkan sebarang ketidaktentuan.
Menurutnya, usaha mengelakkan berlaku ketidakstabilan politik amat penting bagi memastikan kesinambungan dasar dan keyakinan pelabur terhadap negara ini.
“Adalah sesuatu yang normal untuk rakyat menanti maklumat mengenai bakal menteri baharu, dan ahli-ahli politik juga harus mengurangkan budaya ‘politiking’ dengan menyerahkan urusan ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Justeru itu, keputusan kini berada di tangan Perdana Menteri untuk meletakkan noktah kepada spekulasi, sekaligus memperkukuh kestabilan politik dan ekonomi negara,” katanya.
Terdahulu, Rafizi meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi diikuti Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad selepas masing-masing tewas dalam Pemilihan PKR 2025.
Kelmarin, Anwar berkata dua jawatan menteri Kabinet yang dikosongkan itu belum boleh diisi susulan kedua-duanya masih dalam tempoh bercuti.
OLEH: AISYAH BADRUL