31 MEI : Kekosongan jawatan menteri UMNO yang ditinggalkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz perlu dikembalikan kepada parti itu.
Demikian reaksi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkait tindakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu yang mengumumkan keluar parti, semalam.
Namun Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata pihaknya tidak menghalang niat Tengku Zafrul itu memandangkan sudah dimaklumkan sejak tiga bulan lalu.
“Jadi pada saya yang lebih penting, UMNO diwakili oleh tujuh orang dalam Kabinet. Walaupun kita tidak pasti ketika itu sama ada pelantikan Datuk Seri Zafrul atas kapasiti UMNO atau sebaliknya, anggapan kita ialah beliau mewakili UMNO.
“Maka sekarang UMNO tinggal enam orang menteri. Jika kuasa mutlak dilaksanakan sepenuhnya oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), maka dengan keberadaan Tengku Zafrul di luar UMNO, wajarlah UMNO memohon satu kerusi menteri penuh bagi mencukupkan jumlah kepada tujuh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur dan Sambutan Pragai RISDA Sarawak 2025 di Kampung Raeh Baru, Jalan Kuching-Serian, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata meski Tengku Zafrul sudah meninggalkan UMNO namun tidak beretika jika mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima menteri itu tanpa berunding dengan pihaknya.
“Beliau (Tengku Zafrul) berbincang dengan saya ketika sidang Parlimen tiga bulan lalu dan saya tidak ada masalah dengan keputusan beliau.
“Namun, kita berada dalam Kerajaan MADANI maka, adalah tidak beretika jika mana-mana parti menerima kemasukan ahli daripada parti komponen tanpa rundingan.
“Kenyataan Setiausaha Agung UMNO adalah kenyataan rasmi dan mewakili pendirian kepimpinan parti,” kata Ahmad Zahid.
Dalam pada itu, Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu memaklumkan pihaknya sudah menerima surat rasmi peletakan jawatan dan keluar parti dari Tengku Zafrul itu, pagi tadi.
Menyentuh soal pampasan RM100 juta yang dibangkitkan beberapa pemimpin parti, Ahmad Zahid berkata perkara itu sedang diperhalusi penasihat undang-undang UMNO.
“Untuk mana-mana calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, terutama calon UMNO atau BN yang bertanding sebagai ahli Parlimen, jika mereka keluar parti, denda sebanyak RM100 juta dikenakan berdasarkan akuan sumpah atau aku janji.
“Tetapi Tengku Zafrul kalah sebagai calon Parlimen dan dilantik semula sebagai Senator. Saya akan semak dengan penasihat undang-undang UMNO sama ada kes beliau tertakluk kepada aku janji itu atau tidak. Kita akan maklumkan,” katanya.
Malam tadi, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan semua jawatan dalam UMNO dan keluar parti serta menyatakan hasrat untuk menyertai PKR.
*Foto : Facebook Zahid Hamidi