2 JUN : Enam kawasan dari tiga negeri di Semenanjung dilanda cuaca panas tahap 1 iaitu berjaga-jaga, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Dalam kemas kini status cuaca panas setakat jam 4 petang tadi, kawasan tersebut melibatkan negeri Perak, Kelantan dan Kedah.
“Terdapat enam kawasan di Semenanjung berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu Perak: Larut, Matang , Kuala Kangsar dan Perak Tengah; di Kelantan: Machang dan Kuala Kerai serta di Kedah: Bandar Baharu.
“Tahap Berjaga-Jaga: Suhu maksimum harian 35-37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama 3 hari berturut-turut,” menurut MetMalaysia dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, bagi suhu di Sabah dan Sarawak merekodkan suhu maksimum harian kurang daripada 35 darjah Celcius.
Menurut data yang dipaparkan MetMalaysia, tahap 2 yang menunjukkan berlaku gelombang haba apabila suhu maksimum harian direkodkan melebihi 37 hingga 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Sementara tahap 3 iaitu gelombang haba ekstrem di mana suhu maksimum harian melebihi 40 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut direkodkan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini status cuaca panas harian dengan merujuk https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/