2 JUN : Pemimpin masyarakat diingatkan agar tidak bermain politik terhadap isu-isu sensitif yang boleh mencetus perbalahan dan menggugat kestabilan negara.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menitahkan perkara itu ketika Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun 2025 di Istana Negara, hari ini.
Titah baginda, rakyat semakin berpecah-belah dan membenci dengan wujud lebih banyak parti politik atau kem dalam parti.
“Gunakanlah akal sebelum buat sebarang keputusan. Tidak ada hadiah yang lebih istimewa buat diri saya, selain daripada rakyat yang bersatu-padu.
“Saya pernah sebutkan dulu, ada satu virus yang akan melanda negara kita. Sekarang kita nampak virus ini mula menular dan tidak boleh diubati. Saya sering bercakap mengingatkan perkara ini supaya kita tidak mudah lupa,” titah baginda.
Istiada itu sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, hari ini, lapor Bernama.
Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah sebagai hadiah ulang tahun keputeraannya kali ini, baginda mahu rakyat di negara ini terus memperkukuh perpaduan di bawah payung pemerintahannya.
Dalam titah sama, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan MADANI dan penjawat awam yang berusaha keras mengurus ekonomi serta pembangunan negara.
Titah baginda, kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini menjadi bukti keupayaan kepimpinan negara dalam mengeratkan kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Walaupun ada pihak memandang rendah keupayaan Malaysia, dengan usaha gigih dan semangat kerjasama, terutama oleh penjawat awam, segala cabaran dan rintangan berjaya diharungi,” titah baginda.
Pada masa sama, baginda mengingatkan agar penjawat awam sentiasa memberi perkhidmatan cemerlang dan mengamalkan prinsip Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
Tegas baginda, penjawat awam perlu bebas daripada sebarang pengaruh parti politik, bersikap berkecuali dan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat.
“Pegawai kerajaan harus memastikan setiap keputusan dibuat mengikut syarat dan peraturan ditetapkan, bukan mengikut telunjuk orang politik.
“Setiap perbelanjaan juga mesti dikawal rapi dan tidak boleh digunakan sesuka hati oleh menteri atau Ahli Parlimen untuk memancing undi, sampai menyebabkan hutang kerajaan bertambah besar,” titah baginda.
Titah baginda lagi, semua agensi penguat kuasa perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti supaya rakyat tidak hilang kepercayaan dan terus menghormati pakaian seragam yang dipakai.
