Kota MADANI bakal dibina di Putrajaya, siap 2027

3 JUN : Pembangunan Kota MADANI di Putrajaya dijangka siap menjelang penghujung tahun 2027.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu selepas dibentangkan tentang projek pembangunan strategik itu, hari ini.
Menurutnya, konsep Kota MADANI itu menekankan kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat.
“Sewaktu pembentangan konsep tersebut hari ini, saya dimaklumkan bahawa antara kemudahan yang dirancang termasuk sekolah menegak, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), institusi kewangan, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan sebuah masjid.
“Semuanya akan dibangunkan berdekatan kawasan perumahan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, fasa pertama pembangunan kota itu melibatkan pembinaan sekitar 3,000 unit kediaman dan sebuah sekolah menegak yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung 2027.
Katanya, reka bentuk masjid dan sekolah akan menampilkan unsur budaya tempatan, sejajar dengan usaha mengekalkan seni bina dan warisan.
“Semoga segala perancangan ini berjalan lancar dan dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya demi manfaat bersama,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata pembinaan Kota MADANI yang berkeluasan 102 ekar itu selari dengan visi Bandar CHASE (bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam)
Katanya, pembangunan itu merupakan satu pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka masa depan Putrajaya sebagai sebuah bandar contoh yang mendukung nilai-nilai MADANI.
“Dengan keluasan 102 ekar, Kota MADANI bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman untuk lebih 30,000 penduduk dan dibina secara vertikal berintensiti tinggi.
“Reka bentuknya mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan, prasarana digital berkecekapan tinggi dan sistem mobiliti hijau.
“Ini menjadi asas kepada sebuah bandar rendah karbon yang menjunjung prinsip kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurutnya, majlis pecah tanah bagi projek itu dijadualkan pada 26 Jun ini.

*OLEH : HANUM RAJAK