4 JUN : ASEAN menjadi jambatan utama dalam rangka perdagangan baharu melalui tiga perjanjian yang berbeza.
Ia melibatkan menaik taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Perjanjian Perdagangan Bebas China-GCC.
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di Malaysia, Prof Datuk Dr Mohd Faiz Abdullah berkata tiga laluan tersebut bukan usaha dua hala yang terasing sebaliknya membentuk struktur yang saling berkait antara tiga blok ekonomi.
“Apa yang sering terlepas pandang ialah ketiga-tiga laluan ini bukanlah usaha dua hala yang terasing. Sebaliknya, ia membentuk satu struktur yang tersusun dan saling berkait antara Asia Tenggara, Teluk dan China-tiga blok ekonomi paling dinamik di dunia.

“Rangka ini berpotensi mengukuhkan lagi sistem perdagangan multilateral berasaskan peraturan, yang menurut Anwar sedang berdepan ‘serangan sekatan perdagangan yang dikenakan secara sewenang-wenangnya’.
“Ia juga akan menyediakan lebih banyak kepastian dan kebolehjangkaan untuk pelabur serta menginstitusikan peranan teras ASEAN dalam susunan perdagangan global yang sedang berkembang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, setiap perjanjian itu bergerak pada kadar berbeza yang memberikan peluang unik kepada ASEAN dan GCC untuk merujuk kepada struktur serta kandungan dua rundingan lain juga merangka satu perjanjian merapatkan kedua-dua inisiatif terdahulu.
“Urutan ini sebenarnya boleh memberikan kelebihan besar kepada ASEAN, meletakkannya sebagai jambatan utama dalam rangka perdagangan baharu,” katanya.
Mohd Faiz berkata, dalam susunan seperti ini, mesti ada komitmen yang kukuh dalam sektor pertumbuhan utama seperti kewangan Islam, ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui yang menawarkan manfaat bersama serta pulangan jangka panjang.
Menurutnya, memasukkan sektor-sektor ini secara eksplisit ke dalam FTA tersebut akan menjadi satu perubahan yang segar daripada perjanjian perdagangan konvensional, sekaligus mewujudkan satu bentuk perkongsian yang lebih inovatif.
“Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN telah pun mengambil langkah kepimpinan. Kita sedang menggesa penyelesaian awal ACFTA 3.0, menyokong jadual yang jelas bagi rundingan FTA ASEAN-GCC dan pada masa yang sama memajukan penubuhan satu mekanisme tetap yang akan menyelaras pelbagai laluan perdagangan ini secara strategik.
“Selain itu, penubuhan sebuah majlis perniagaan serantau boleh memastikan penyelarasan sektor swasta, sekaligus membolehkan para peniaga dan pelabur meraih manfaat daripada lanskap ekonomi yang sedang berubah ini,” katanya.
*Foto : Facebook ASEAN
*OLEH : HANUM RAJAK