Guinea-Bissau pintu masuk strategik ke Afrika Barat

4 JUN : Republik Guinea-Bissau bukan sahaja rakan dua hala yang penting buat Malaysia namun juga pintu masuk strategik ke rantau Afrika Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan empat mata dengan Presiden Guinea-Bissau, Jeneral Umaro Sissoco Embalo hari ini berpotensi memacu kerjasama yang lebih luas dan bermakna demi manfaat rakyat kedua-dua negara.
Anwar menzahirkan kesediaan Malaysia membantu Guinea-Bissau dalam membangun industri halal di negara itu termasuk dalam sektor makanan dan kosmetik.
“Saya zahirkan kesediaan Malaysia untuk membantu Guinea-Bissau membangunkan industri halal termasuk dalam sektor makanan, kosmetik dan fesyen melalui perkongsian kepakaran dalam pensijilan, pembangunan industri dan peningkatan kapasiti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Embalo yang dalam rangka lawatan rasmi sulung selama tiga hari diberi sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, pagi tadi.
Selepas istiadat itu selesai, Anwar dan Embalo berunding berkait hala tuju hubungan kedua-dua negara sebelum mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala.
“Usai istiadat sambutan rasmi, saya dan Presiden Umaro Sissoco Embalo mengadakan pertemuan empat mata selama lebih 30 minit. Kami bicarakan potensi kerjasama dua hala serta hala tuju hubungan Malaysia–Guinea-Bissau yang kini memasuki usia setengah abad.
“Kami kemudiannya mengetuai delegasi masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang mengenal pasti beberapa bidang strategik termasuk minyak dan gas, tenaga boleh baharu, industri halal, penjagaan kesihatan, serta latihan dan pendidikan teknikal,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan Malaysia mengalu-alukan penyertaan pelajar Guinea-Bissau ke institusi teknikal dan vokasional di Malaysia.
Selain itu, Malaysia turut menyokong usaha memperkukuh ekosistem penjagaan kesihatan Guinea-Bissau melalui kerjasama teknikal dan latihan tenaga kerja.
“Malaysia juga terbuka meneroka penyelesaian inovatif dalam kewangan Islam dan perdagangan karbon sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan mampan yang inklusif dan berdaya tahan,” kata Anwar.
Menurut Anwar, beliau dan Embalo turut menyentuh berkait isu di Gaza dan menzahirkan kebimbangan mendalam terhadap penderitaan berpanjangan rakyat Palestin.
“Malaysia dan Guinea-Bissau senada bahawa komuniti antarabangsa tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman yang berlaku dan mesti terus bersuara membela keadilan dan kemanusiaan sejagat,” katanya.

*Foto : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA
*OLEH : HANUM RAJAK