4 JUN : Kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini pada tahap yang baik apabila merekodkan angka 94.5 peratus, setakat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata terdapat lebih 1,300 institusi TVET di seluruh negara, dengan sekitar 436,000 pelajar yang mengikuti pelbagai kursus.
“Apabila ia dinilai tambah melalui kursus-kursus TVET, ini yang akan menarik majikan untuk mengambil lepasan TVET kerana mereka tidak lagi perlu melatih asas-asas untuk bidang-bidang yang mereka perlukan.
“Hal ini kerana kurikulum dalam TVET telah menyediakan kurikulum yang bersesuaian dengan industri tertentu dan ini amat menarik.
“Apa yang penting ialah kita menyesuaikan kursus-kursus itu dengan kehendak industri dan kita mengadakan perbincangan dengan pihak majikan dan pemain-pemain industri mengenai bidang apa yang diperlukan,” katanya pada program AgendaAWANI yang disiarkan hari ini, lapor Astro Awani.
Menurut Ahmad Zahid, setakat ini terdapat lebih 100,000 permohonan kemasukan ke institusi TVET bagi sesi Julai depan.
Angka yang menggalakkan itu mencerminkan tahap kesedaran ibu bapa mengenai TVET yang kini merupakan satu ekosistem pendidikan baharu, tidak konvensional atau konservatif.
Namun beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menegaskan kerajaan tidak akan meminggirkan mana-mana kumpulan melalui sistem pendidikan yang berbeza, termasuk meletakkan TVET sebagai platform untuk memperoleh kerjaya yang baik.