Rujuk 8 soalan bukan untuk kebal, elak disiasat

4 JUN : Permohonan untuk merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan bukan untuk mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada disiasat.
Demikian penegasan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya itu.
“Petang ini, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan saya untuk merujuk 8 persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan.
“Perkara ini tidak pernah berkaitan dengan usaha untuk mendapatkan kekebalan peribadi atau mengelak daripada disiasat secara undang-undang.
“Ia melibatkan integriti sistem perlembagaan kita dan keperluan untuk memastikan bahawa jawatan awam tertinggi dilindungi daripada litigasi yang mungkin ditimbulkan secara strategik, bermotifkan politik atau mengganggu institusi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada seorang Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Hakim Roz Mawar Rozain dalam keputusannya mendapati persoalan dikemukakan itu tidak memenuhi peruntukan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang mewajarkan ia dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.
Permohonan itu berkait kes saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther mengenai dakwaan serangan seksual yang didakwa berlaku tujuh tahun lalu.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyatakan beliau akan terus menjalankan tanggungjawab tanpa gangguan atau kompromi.
“Saya tetap komited sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, dan maruah tadbir urus demokrasi.
“Proses undang-undang akan diteruskan, dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab saya tanpa gangguan atau kompromi,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA