4 JUN : Permit Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) dikuat kuasa sepenuhnya di pintu sempadan darat Malaysia–Singapura mulai 1 Julai ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata mana-mana kenderaan persendirian yang tidak mempunyai VEP sah akan disaman RM300 yang perlu dibayar sebelum meninggalkan Malaysia.
Bagi kenderaan persendirian syarikat yang tidak berdaftar atau tidak mempunyai VEP sah pula, saman akan dikenakan kepada pemandu kenderaan berkenaan.
“Namun, sekiranya kenderaan itu telah pradaftar, kita berikan sedikit kelonggaran dengan hanya mengeluarkan notis peringatan, dan mereka dibenarkan keluar dari Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas berhubung Penguatkuasaan Road Charge – VEP (RC-VEP), hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony berkata kelonggaran itu susulan proses pendaftaran kenderaan syarikat lebih kompleks serta memerlukan pelbagai dokumen syarikat.
Sementara itu, kaedah bayar saman hanya diterima secara tanpa tunai melalui Kaunter Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kaunter Bergerak JPJ Mobile atau secara dalam talian melalui platform myEG.
“Masa yang diberikan sebenarnya sudah cukup panjang. Seperti yang kami maklumkan sebelum ini, kita mulakan dengan pendekatan advokasi sejak 1 Oktober lalu.
“Ketika pengumuman dibuat, memang berlaku lonjakan permohonan RFID. Ada yang menyambut baik, ada juga yang mengeluh.
“Fasa pertama hanya bertujuan memberi kesedaran mengenai penguatkuasaan, tetapi tanpa sebarang tindakan saman, hanya notis dikeluarkan,” katanya.
Menurutnya, setakat ini belum ada mana-mana pemilik kenderaan dari Singapura yang disaman atas kesalahan itu.