5 JUN : Malaysia-Thailand sepakat untuk mewujudkan amaran awal bagi pelepasan air dari empangan negara jiran itu yang menyebabkan banjir di sekitar kawasan Sungai Golok di Kelantan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata amaran awal antara tiga atau empat hari sebelum pelepasan dibuat itu akan memberi masa yang mencukupi untuk Malaysia membuat persiapan.
Menurutnya, persetujuan itu dicapai dalam pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Anutin Charnvirakul di Geneva sempena persidangan Eight Session of the Global for Disaster Risk Reduction.
“Dalam pertemuan ini, saya membangkitkan isu impak limpahan air luar biasa di Sungai Golok dan kawasan jajahan di Kelantan yang bersempadan dengan Thailand.
“Situasi ini berlaku ekoran projek tebatan banjir yang telah siap di sebelah jajaran Thailand yang disusuli dengan pelepasan air sehingga menyebabkan banjir besar dan kerosakan struktur benteng di sebelah jajaran Malaysia. Akibatnya, paras air di Kelantan meningkat melepasi paras normal.
“Sehubungan itu, bagi persediaan menempuhi Monsun Timur Laut yang diramal bermula November ini, saya mencadangkan agar sebarang pelepasan air dari empangan di Thailand dimaklumkan kepada pihak Malaysia sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari lebih awal.
“Ini bagi memastikan Malaysia mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan dan memberi amaran kepada penduduk yang terlibat, khususnya di sekitar lembangan Sungai Golok.
“Alhamdulilah cadangan ini diterima dan dipersetujui pihak Thailand. Satu mekanisme pemakluman awal akan diwujudkan demi keselamatan dan kebajikan rakyat di kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kata Ahmad Zahid, perkara itu merupakan langkah awal yang penting sebelum diperhalusi dengan tindakan susulan lain bagi memastikan kesiapsiagaan bencana dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau menyambut baik pemeteraian perjanjian bagi projek Pembinaan Jambatan Kedua Rantau Panjang-Sungai Golok serta perancangan untuk melaksanakan kerja-kerja mendalamkan muara Sungai Golok serta pembinaan benteng sungai yang dijadualkan bermula Oktober, tahun ini.
“Saya percaya, segala langkah yang dipersetujui hari ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua negara dalam memperkukuh kesiapsiagaan bencana dan keselamatan sempadan.
“Semoga hubungan erat Malaysia-Thailand terus diperkukuh demi manfaat bersama rakyat kedua-dua negara,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK