5 JUN : Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ditugaskan untuk mengambil tindakan susulan berkait pengambilan dua bidang tanah milik Kerajaan Malaysia di Woodlands.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata kenyataan Penguasa Tanah Singapura (SLA) yang dilaporkan media semalam dibincang dalam mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
“Jemaah menteri ada membincangkan hal ini dan Menteri Kewangan II sudah ditugaskan untuk melakukan beberapa tindakan susulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat itu, hari ini.
Terdahulu, SLA dilapor mewartakan perancangan pengambilalihan dua bidang tanah berkeluasan kira-kira 0.79 hektar itu.
Menurut satu kenyataan, SLA dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata pengambilalihan tanah itu untuk pembangunan semula dan peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands (WCP).