9 JUN : Seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan meninggal dunia sementara tujuh lagi parah selepas bas dinaiki terbabit kemalangan sebelum terbalik di Jalan Raya Timur Barat, Perak awal pagi tadi.
Menurut kenyataan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak kelangan itu meragut 13 nyawa di lokasi kejadian dan dua lagi di hospital sementara empat lagi disahkan cedera.
Difahamkan bas tersebut disewa sendiri pelajar UPSI untuk pulang ke kampus di Tanjung Malim, Perak dari Jertih, Terengganu selepas cuti Aidiladha.
Kenyataan APM itu memaklumkan kemalangan tersebut melibatkan bas itu dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza.
Kemalangan itu membabitkan 48 mangsa termasuk 42 pelajar UPSI dan seorang pemandu bas serta seorang pembantu selain empat lagi mangsa menaiki Perodua Alza.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata bas dan kereta itu dalam laluan yang sama dari Jeli, Kelantan ke Gerik.
Beliau turut mengesahkan kemalangan itu menyebabkan bas terbalik dan kereta terbabas ke dalam parit.
“Terdapat mangsa yang berjaya keluar dengan sendiri, ada mangsa yang tercampak keluar dan ada mangsa yang masih berada di dalam bas,” katanya.
Menurutnya lagi, enam mangsa terperangkap dalam bas dan dikeluarkan selepas pihaknya melakukan pemotongan pada bahagian belakang bas.
“Mangsa-mangsa yang cedera termasuk yang berjaya keluar dengan sendiri sudah diberi rawatan awal oleh pihak KKM yang berada di lokasi. Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mangsa yang cedera dihantar ke hospital dengan menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), ambulans KKM dan APM,” katanya.
