9 JUN : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menegaskan perkongsian data telefon bimbit (MPD) oleh syarikat telekomunikasi bersifat anonim atau dinyahidentiti yang tidak mendedahkan maklumat peribadi pengguna.
Timbalan Pengarah Urusan MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata perkongsian itu juga tidak diklasifikasikan sebagai data peribadi di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).
“Kita tidak berhasrat mengetahui keberadaan seseorang individu, ke mana dia pergi atau di mana dia menginap. Itu bukan tujuan MPD.
“Tujuan pengumpulan MPD adalah untuk data statistik. Ia merupakan bentuk baharu dalam mendapatkan maklumat statistik.
“Jika dahulu melalui soal selidik, tetapi sekarang ditransformasikan dalam bentuk digital dan analitik data raya.
“Ini adalah satu transformasi besar dalam kaedah pengumpulan data yang harus disokong,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas taklimat mengenai MPD di Cyberjaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata perkongsian data MPD itu sudah diluluskan Kabinet di mana ia akan menjadisumber data baharu penghasilan statistik kebangsaan.
Namun katanya, penggunaan MPD bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan banyak negara lain yang sudah mengamalkan kaedah serupa.
Katanya, setiap syarikat telekomunikasi yang terbabit boleh memproses data MPD dalam sistem dalaman dan hanya menyerahkan output yang sudah dianonim atau menyerahkan data yang sudah dinyahidentiti kepada MCMC untuk diproses.
Maka katanya, tiada data individu yang boleh dikenal pasti melalui output yang diserahkan syarikat telekomunikasi.
*Foto : Facebook Refleks