9 JUN : Kemalangan yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipercayai berlaku selepas bas dinaiki hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza, sebelum terbalik.
Ekoran daripada perlanggaran itu, kereta tersebut hilang kawalan dan berpusing masuk ke laluan menuju ke Jeli manakala bas persiaran ituterbabas dan terbalik ke bahu jalan menuju ke Gerik.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan hasil siasatan awal kemalangan yang berlaku di KM 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik sekitar jam 1 pagi tadi itu pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, hari ini.
Menurutnya, bas itu membawa 42 pelajar iaitu lapan pelajar lelaki dan 32 pelajar perempuan dari Pantai Timur yang berusia antara 21 hingga 23 tahun.
“Kemalangan ini menyebabkan 15 kematian dan semua jenazah masih menunggu proses bedah siasat. Sebanyak 13 jenazah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Bainun manakala dua jenazah lagi di Hospital Gerik.
“Seramai 27 lagi pelajar iaitu 23 perempuan dan empat lelaki turut cedera. Pemandu bas itu yang berusia 40 tahun dan pembantunya berusia 44 tahun juga cedera dalam kemalangan itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pemandu dan penumpang Alza yang merupakan sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun serta sepasang anak berusia 3 dan 6 tahun turut cedera dalam kejadian itu.
Menurut Noor Hisam, identiti mangsa yang terlibat masih tidak boleh didedahkan susulan proses bedah siasat yang masih berjalan dan dijangka mengambil masa berikutan jumlah mangsa yang ramai.
Katanya, siasatan kini dijalankan dengan lebih mendalam termasuk dari sudut teknikal, kecuaian serta rekod kesalahan lampau.
“Keadaan kawasan kemalangan adalah berliku dan menurun (bukit). Jadi kita akan siasat semua kemungkinan termasuk aspek teknikal. Jalan di kawasan itu juga gelap dan tidak mempunyai lampu kecuali kawasan berhampiran Tasik Banding, jadi masih terlalu awal untuk membuat sebarang keputusan.
“Pemandu bas ini juga cedera di tangan dan kita masih belum dapat merakamkan percakapannya,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
*Foto : Facebook Polis Daerah Gerik