9 JUN : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrhaim menzahirkan rasa dukacita atas tragedi kemalangan maut yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi tadi.
Menurut Anwar, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendoakan semua pihak terlibat diberi kekuatan serta ketabahan.
“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Anwar, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diarahkan untuk menyelaras bantuan kepada keluarga mangsa.
Pada kenyataan sama, beliau menasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak terburu-buru ketika dalam perjalanan menuju destinasi masing-masing.
“Saya telah arahkan KPT untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa.
“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi.
“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya.
Dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza itu, 15 disahkan maut sementara yang lainnya cedera.
Akibat kemalangan itu bas tersebut dalam perjalanan ke kampus UPSI di Perak terbalik sementara Alza dinaiki empat beranak terbabas ke dalam longkang di Jalan Raya Timur Barat, Perak awal pagi tadi.
Dalam pada itu, Menteri KPT, Datuk Seri Dr Zambri Abd Kadir berkata 13 jenazah dibawa ke Hospital Ipoh untuk urusan bedah siasat sementara dua lagi jenazah sedang dibedah siasat di Hospital Gerik.
Katanya, baki mangsa yang cedera sedang mendapatkan rawatan di Hospital Gerik akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
“Urusan bantuan penginapan untuk keluarga mangsa sedang dikoordinasi bersama Politeknik Ungku Omar dan Kolej Komuniti Gerik.
“Saya dalam perjalanan ke Hospital Ipoh untuk bertemu dengan keluarga mangsa. Saya mohon sama-sama kita doakan segala urusan mangsa dipermudahkan dan kepada semua keluarga yang terlibat, semoga diberi kekuatan dan ketabahan.
“Insya-Allah, KPT dan UPSI sendiri sudah menggerakkan apa jua bentuk bantuan untuk diberikan kepada semua yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI memaklumkan pihaknya membuka bilik gerakan susulan nahas itu dan sebarang maklumat boleh menghubungi talian 05-4507148 (pejabat) atau019-5719977 (hotline).