Hubungan Malaysia-Poland amat penting untuk diperkasa

10 JUN : Kedudukan Poland sebagai rakan strategik Malaysia dalam Kesatuan Eropah menjadikan hubungan kedua negara ini amat penting untuk terus diperkasa.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan perkara itu susulan lawatan sulung Presiden Poland, Andrzej Duda ke Malaysia, hari ini.
Katanya, melalui pertemuan empat mata bersama Duda, Malaysia dan Poland menyatakan komitmen yang teguh juga berterusan untuk memperkukuh hubungan dua hala ke tahap yang lebih strategik, inklusif serta menyeluruh.
Menurut Anwar, antara bidang utama yang menjadi fokus termasuk perluasan eksport minyak sawit Malaysia ke pasaran Poland dan Eropah serta pengukuhan eksport produk perkayuan yang bernilai tinggi.
“Turut diberi perhatian ialah kerjasama dalam aspek perolehan pertahanan dan perdagangan produk kayu dan balak yang lestari, memandangkan potensi sektor ini dalam menjana nilai tambah ekonomi.
“Kami turut menyentuh tentang peluang kerjasama dalam sektor elektrik dan elektronik, termasuk pembangunan teknologi baharu seperti hidrogen hijau, selari dengan agenda kelestarian dan peralihan tenaga yang sedang dipacu di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas sidang media itu, hari ini.
Terdahulu, Duda bersama delegasi disambut Perdana Menteri dan diberi sambutan rasmi, pagi tadi.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berharap hubungan kedua negara terus diperkukuh untuk jangka masa panjang.
“Moga hubungan Malaysia-Poland terus diperkukuh dan diperkembangkan demi kemakmuran serta kesejahteraan rakyat kedua-dua negara dalam jangka masa panjang,” katanya.
Anwar dan Duda kemudiannya menghadiri majlis jamuan tengah hari di Kompleks Seri Perdana yang diserikan dengan persembahan tarian tradisional serta kebudayaan pelbagai kaum.

*OLEH : HANUM RAJAK