10 JUN : Semua pihak diingatkan agar berpada-pada dalam menghasilkan kandungan atau berkongsi maklumat berkait nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi semalam
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ruang dan privasi perlu diberikan kepada keluarga mangsa.
“Saya minta supaya sebaik mungkin kita berikan ruang dan privasi kepada keluarga mangsa. Saya ada terlihat satu kandungan yang dihasilkan…individu yang membuat kandungan di lokasi dan di dalam bas itu.
“Walaupun mesejnya adalah mesej takziah tapi bagi saya itu satu kawasan kemalangan yang dalam siasatan pihak berkuasa, maka berpada-padalah dalam menghasilkan kandungan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Suara, Siber dan Sempadan: Merungkai Dinamika Kebebasan Media dalam Era Digital di Universiti Utara Malaysia, hari ini.
Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, maklumat lanjut berkait nahas itu akan dimaklumkan kepada Kabinet, esok dan akan didedahkan pada sidang media selepas mesyuarat itu.
“Dalam mesyuarat jemaah menteri, perkara-perkara atau insiden seperti ini akan dibincangkan, tapi sudah pasti kita akan nantikan laporan daripada pihak berwajib. Berdasarkan laporan itu kita boleh tahu apakah tindakan lanjut sama ada dari segi penguatkuasaan yang perlu diambil.
“Apa pun kita nantikan mesyuarat untuk maklumat terkini, jadi Insya-Allah selepas mesyuarat jemaah menteri akan ada sidang media yang akan saya uruskan,” katanya.
Dalam kejadian awal pagi semalam, bas yang membawa pelajar UPSI dari Terengganu ke kampus di Perak terlibat nahas yang meragut 15 nyawa berhampiran Tasik Banding, Perak.
Bas itu hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah kereta di Jalan Raya Timur Barat, Perak yang dinaiki empat sekeluarga.
*Foto : Facebook Fahmi Fadzil