10 JUN : Peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai ini mencerminkan usaha kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi negara di samping memastikan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana terus dilindungi.
Berbeza dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang pernah dilaksanakan sebelum ini, SST baharu hanya terpakai ke atas barangan tidak penting dan perkhidmatan mewah, manakala barangan asas seperti makanan harian, ubat-ubatan dan keperluan rumah kekal bebas cukai.
Langkah ini bukan sahaja membantu rakyat untuk terus menikmati harga yang stabil untuk barangan keperluan malah ia juga bagi memastikan mereka yang berbelanja lebih akan menyumbang lebih sementara golongan berpendapatan rendah kekal tidak terbeban dengan cukai.
Pendekatan ini menunjukkan kerajaan bukan sekadar mahu mengutip cukai, sebaliknya mahu melaksanakan sistem yang lebih adil dan bersasar sejajar dengan matlamat Ekonomi MADANI yang mahu menjamin kesejahteraan rakyat di negara ini.
Selain itu, hasil kutipan SST juga akan digunakan semula untuk rakyat melalui pelbagai bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan awal persekolahan serta pembangunan kemudahan awam termasuk sekolah dan klinik kesihatan.
Ia berbeza dengan GST sebelum ini, di mana walaupun mengutip hasil besar tetapi salurannya kepada rakyat tidak begitu ketara atau langsung dan mengakibatkan rakyat berhadapan dengan beban tanpa pulangan yang jelas.
Malah kerajaan juga menyediakan pelbagai kemudahan bagi mengurangkan kesan cukai itu kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dalam pelaksanaan GST terdahulu, banyak perusahaan terjejas akibat beban pematuhan dan kos sistem yang tinggi, namun SST kali ini lebih fleksibel serta memahami keadaan sebenar perniagaan tempatan.
Pelaksanaan SST kali ini tidak dikenakan kepada semua rakyat, hanya mereka yang menggunakan barangan dan perkhidmatan mewah seperti spa, insurans premium atau perkhidmatan eksklusif akan dikenakan cukai.
Ia menjadikan sistem ini lebih adil dan bersasar berbanding GST yang mengenakan cukai sama rata tanpa mengira tahap pendapatan, sedangkan SST membantu mengurangkan jurang dan melindungi golongan berpendapatan rendah.
Secara keseluruhan, SST baharu membantu menambah hasil negara tanpa menambah hutang, di samping memastikan kuasa beli rakyat terus terpelihara dan ekonomi negara dapat dikukuhkan untuk jangka masa panjang.

*OLEH : AISYAH BADRUL