Ekonomi Islam mesti jadi alternatif kepada sistem konvensional

11 JUN : Ekonomi Islam mesti tampil sebagai alternatif tuntas kepada sistem konvensional yang berteraskan nilai manusiawi, keadilan dan ihsan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sistem itu perlu lebih adil, mampan dan berperikemanusiaan berbanding sistem konvensional.
“Tatkala menyampaikan amanat sewaktu meluncurkan Pusat Kecemerlangan i-RISE, saya tegaskan bahawa sistem kewangan Islam tidak boleh terhenti sekadar menawarkan pembiayaan bebas riba.
“Untuk muncul sebagai alternatif yang benar-benar berdaya saing, sistem ekonomi Islam harus tampil bukan sekadar berbeza, bahkan lebih adil, mampan dan berperikemanusiaan berbanding sistem konvensional yang kerap menguntungkan segelintir dan mengabaikan nilai ihsan serta kesaksamaan,” katanya melalui kenyataan di Facebook, malam tadi.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Pusat Kecemerlangan Kajian dan Inovasi dalam Ekonomi Islam (i-RISE) di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kesenjangan antara kaya dan miskin, masalah kemiskinan tegar dan isu keadilan sosial hanya boleh ditangani sekiranya sistem ekonomi dibina atas asas tatakelola yang baik serta dasar yang jelas dan progresif.
“Nilai ihsan hanya akan terserlah apabila negara-negara Islam benar-benar komited terhadap reformasi institusi dan kemajuan rakyat.
“Kerangka Ekonomi MADANI merupakan penzahiran nilai-nilai luhur ini, yakni satu ikhtiar untuk mengangkat darjat dan harkat rakyat serta negara,” katanya.
