11 JUN : Setiap mangsa terbabit nahas bas di Gerik yang mengorbankan 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menerima bantuan kewangan tambahan antara RM5,000 hingga RM10,000.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata ketetapan itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet, hari ini.
Selain itu, katanya, Anwar juga mahu aspek insurans diteliti untuk mangsa yang terbabit dalam insiden itu.
“Perdana Menteri sudah maklumkan kepada jemaah menteri supaya diberikan bantuan tambahan kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia sebanyak RM10,000 dan yang cedera, RM5,000.
“Perdana Menteri juga sudah arahkan Jabatan Peguam Negara meneliti dari aspek insurans kepada mangsa-mangsa ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, hari ini.
Dalam kejadian awal pagi Isnin, bas yang membawa pelajar UPSI dari Terengganu ke kampus di Perak terlibat nahas yang meragut 15 nyawa berhampiran Tasik Banding, Perak.
Bas itu hilang kawalan sebelum melanggar belakang sebuah kereta di Jalan Raya Timur Barat, Perak yang dinaiki empat sekeluarga.
Dalam kejadian itu, 33 mangsa cedera, termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kereta.
Selain itu, kerajaan turut melupuskan sepenuhnya pinjaman pendidikan 15 pelajar yang meninggal dunia itu tanpa sebarang bayaran balik.
“Maka berdasarkan dasar sedia ada, pinjaman telah dilupuskan dan dimaafkan.
“Tiada isu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melibatkan 15 mangsa yang terkorban,” katanya.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut mengumumkan bantuan awal RM2,000 dan bantuan bencana RM1,000 kepada waris mangsa sementara Kerajaan Negeri Perak memberi bantuan awal RM1,000 kepada waris setiap mangsa kemalangan.
Kerajaan Negeri Terengganu pula mengumumkan bantuan RM3,000 kepada 15 waris mangsa yang meninggal dunia dan RM1,000 kepada mangsa yang cedera.