11 JUN : Penggunaan media sosial perlu dimanfaatkan sepenuhnya komuniti MADANI dalam menyalurkan maklumat sahih kepada rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif ini penting dalam menangkis maklumat palsu dan menyalurkan maklumat tepat.
“Kita akan minta Jabatan Penerangan untuk kumpul maklumat kepada mereka untuk disampaikan kepada komuniti masing-masing,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Akademi Asas Penerangan (ASAS) Zon Utara A di Alor Setar pada Selasa.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata pelaksanaan ASAS untuk semua Komuniti MADANI akan ditambah baik dengan modul tambahan yang lebih terperinci.
Katanya, ia bagi memastikan ASAS dapat memberi hasil lebih berkesan pada masa akan datang.
Menurut Fahmi, melalui ASAS, komuniti MADANI dibimbing untuk berhujah dengan lebih baik, ringkas dan tepat bagi memastikan setiap penerangan difahami dengan jelas.
“Bagi satu-satu isu yang timbul, biasanya (perlu) penyampaian maklumat yang ringkas dalam bentuk format dan cara sesuai dengan sesuatu komuniti supaya ia lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Penerangan dalam kenyataan memaklumkan program itu merupakan satu inisiatif strategik bagi memperkukuh jaringan komunikasi kerajaan di peringkat akar umbi.
Ia turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan komuniti sebagai ejen komunikasi berwibawa selaras dengan nilai-nilai yang digariskan dalam kerangka Malaysia MADANI.
*Foto : Facebook Julina Johan