11 JUN : Di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia berjaya menarik pelaburan yang diluluskan RM89.8 bilion bagi suku pertama (Q1) tahun ini.
Peningkatan kukuh sebanyak 3.7 peratus (%) bagi tempoh sama tahun lalu itu dijangka mampu mewujudkan lebih 33,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat di negara ini.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan berkata pelaburan bagi Januari hingga Mac 2025 itu melibatkan sektor perkhidmatan RM57.8 bilion (64.4%), pembuatan RM30.5 bilion (33.9%) dan primer RM1.5 bilion (1.7%).
“Pelaburan-pelaburan ini melibatkan 1,556 projek yang dijangka mewujudkan lebih daripada 33,300 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Malaysia,” kata agensi kerajaan itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut MIDA, Johor mencatatkan nilai pelaburan yang diluluskan tertinggi RM30.1 bilion diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur RM15 bilion, Sabah RM10.9 bilion, Selangor RM10.2 bilion dan Pulau Pinang RM9.2 bilion.
“Keputusan ini mencerminkan keyakinan berterusan para pelabur terhadap dasar negara yang jelas dan asas ekonomi jangka panjang, bertentangan dengan aliran berhati-hati pelaburan antarabangsa akibat ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi serta persaingan global yang semakin sengit dalam merebut pelaburan baharu,” kata MIDA.
Menurutnya, pelaburan asing (FI) mendominasi landskap pelaburan dengan menyumbang sebanyak RM60.4 bilion (67.3%) daripada jumlah keseluruhan pelaburan, manakala pelaburan domestik (DI) menyumbang sebanyak RM29.4 bilion (32.7%).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata di sebalik jumlah peluang pekerjaan baharu itu, turut sama penting adalah peningkatan signifikan indeks Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan (MTS) daripada 44.2% (Q1 2024) kepada 46.3% (Q1 2015).
“Ini mencerminkan kejayaan negara dalam mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan gaji yang lebih baik untuk rakyat kita.
“Dengan ekonomi ASEAN yang lebih bersepadu, yang sedang kami usahakan sebagai Pengerusi ASEAN, kami juga sedang merintis jalan untuk terus meletakkan Malaysia sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan kepada rantau yang pesat membangun dengan 680 juta penduduk ini,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul lagi, persekitaran pelaburan pada tahun ini dijangka kekal mencabar disebabkan ketidaktentuan geopolitik dan makroekonomi yang berterusan akibat perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.
“Meskipun dasar perlindungan pasaran utama dan gangguan rantaian bekalan terus mempengaruhi keputusan pelaburan syarikat, dasar Malaysia yang jelas sepatutnya mampu menarik lebih banyak pelaburan dari ekonomi Asia yang sedang berkembang dan dijangka menyumbang sekitar 42% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global menjelang tahun 2040,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK
