11 JUN : Orang ramai tidak perlu bimbang tentang kebocoran maklumat peribadi dalam perkongsian data telefon bimbit (MPD) oleh syarikat telekomunikasi kepada kerajaan.
Tiada sebarang nama, nombor kad pengenalan mahupun nombor telefon akan diserahkan dalam data yang diproses syarikat telekomunikasi.
Sebaliknya, kerajaan hanya akan menerima data pergerakan orang awam yang sudah dinyahidentiti atau dianonimkan.
Melalui data pergerakan yang diperoleh, kerajaan dapat merancang perkhidmatan awam seperti jalan raya, pengangkutan awam, kawasan pelancongan atau semasa bencana.
Sebagai contoh, jika ramai pengguna dari Rawang ke Kuala Lumpur setiap pagi, data itu boleh membantu kerajaan untuk inisiatif menambah bas ekspres atau menaik taraf jalan utama untuk kemudahan rakyat.
Melalui data itu juga, kerajaan boleh mengetahui statistik orang ramai di kawasan pelancongan atau di lokasi tumpuan pada waktu yang tertentu.
Hanya data lokasi dari telefon bimbit akan diakses namun tiada nama, nombor telefon atau kad pengenalan ekoran data yang diberi itu digabungkan secara umum agar tidak boleh dikesan semula.
Sebagai contoh, sistem hanya mengesan 5,000 telefon bergerak dari Seremban ke Nilai namun pemilik kepada 5,000 telefon itu tidak diketahui.
Selain itu, kerahsiaan data juga dijamin susulan hanya pegawai yang diberi kuasa di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang boleh mengakses data tersebut selain ia tidak dikongsi dengan syarikat swasta atau pihak luar.
Untuk rekod, penggunaan data telefon untuk perancangan kerajaan bukan asing lagi sebaliknya sudah digunakan negara luar seperti Sepanyol, Brazil, Indonesia dan Perancis.
*OLEH : HANUM RAJAK