12 JUN : Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia menaiki pesawat Air India yang terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad, India, hari ini.
Kementerian dalam satu kenyataan berkata perkembangan insiden itu dipantau rapi dan sebarang maklumat akan disalurkan sekiranya perlu.
Bagi sebarang bantuan konsul, Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai boleh dihubungi di alamat Unit 12A1, Unit 12A2 dan Unit 12A3, Tingkat 13, Bangunan Supreme Headquarters, Jalan 14 dan 33 berhampiran Link Square Mall, Bandra West, 400 050 Maharashtra, India, atau menerusi talian +91 22 6996 5757 (Pertanyaan Am) atau e-mel ke: mwmumbai@kln.gov.my.
Akhbar tempatan, Indian Express yang memetik sumber polis melaporkan kesemua 242 penumpang termasuk 12 anak kapal disahkan maut dalam kejadian itu.
Penerbangan AI171 itu dalam penerbangan ke London, United Kingdom (UK) membawa 169 penumpang warga India, 53 warga British, 7 warga Portugal dan seorang warga Kanada.
Pesawat Boeing 787-8 itu berlepas jam 1.38 tengah hari waktu tempatan sebelum terhempas di atas sebuah bangunan asrama doktor di negeri Gujarat, barat India.