12 JUN : Pelaburan yang diluluskan di Malaysia berjumlah RM89.8 bilion bagi suku pertama 2025 bukan sekadar mencerminkan keyakinan pelabur namun turut menjanjikan peluang pekerjaan lebih baik kepada rakyat.
Ketua Sekteriat Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) Majlis Perundangan Melayu (MPM), Syed Zikri Shahabudin berkata peningkatan Indeks Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan (MTS) daripada 44.2 peratus (%) kepada 46.3% menandakan lebih banyak pekerjaan mahir dan teknikal bakal diwujudkan selepas ini.
Bagaimanapun, katanya meskipun jumlah pelaburan tersebut menjanjikan pekerjaan yang lebih berkualiti, tetapi kesannya bergantung kepada keberkesanan latihan kemahiran yang disediakan kerajaan dan syarikat swasta.

Selain itu, katanya ia juga bergantung kepada komitmen syarikat pelabur untuk mengutamakan pekerja tempatan dalam jawatan tinggi serta pemantauan berterusan ke atas projek Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang diluluskan.
“Peningkatan indeks MTS secara positif menunjukkan bahawa lebih banyak jawatan dalam bidang teknikal dan pengurusan akan diwujudkan khususnya dalam sektor semikonduktor, pusat data dan tenaga boleh diperbaharui.
“Ia juga merangkumi industri berteknologi tinggi seperti elektrik dan elektronik (E&E), bateri litium-ion yang lazimnya menawarkan kadar gaji lebih tinggi berbanding sektor tradisional.
“Namun, masih terdapat cabaran kerana subsektor seperti pemasangan E&E dan logistik masih bergantung kepada tenaga kerja separa mahir walaupun indeks MTS menunjukkan peningkatan,” katanya.
Terdahulu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan berkata jumlah pelaburan yang diluluskan bagi suku pertama tahun ini mengalami peningkatan kukuh sebanyak 3.7 peratus bagi tempoh sama tahun lalu dan dijangka mampu mewujudkan lebih 33,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat di negara ini.
Mengulas lanjut, Syed Zikri berkata ketika ini, masih terdapat jurang kemahiran bagi pekerja bergaji tinggi dalam industri pusat data dan Kecerdasan Buatan (AI), di mana mereka memerlukan latihan khusus seperti sijil Pengkomputeran Awan kerana kemahiran ini masih belum dikuasai oleh ramai pekerja tempatan.
Sehubungan itu, beliau berkata potensi peningkatan kualiti pekerjaan hanya akan menjadi kenyataan sekiranya latihan semula dan peningkatan kemahiran dilakukan secara besar-besaran dan disokong dasar kerajaan yang progresif.
“Pelaburan ini berpotensi meningkatkan kualiti pekerjaan tetapi kesan penuh hanya akan kelihatan jika program upskilling seperti MyFutureJobs berjaya melatih pekerja untuk jawatan teknikal dan syarikat pelabur mematuhi syarat gaji minima progresif, terutamanya untuk projek bantuan kerajaan.
“Selain itu, kerajaan juga perlu memperkukuh kerjasama dengan industri universiti untuk latihan khusus seperti latihan khusus bersijil dalam fabrikasi cip dan memberi insentif cukai untuk syarikat yang melatih dan mengupah pekerja tempatan dalam jawatan MTS,”katanya.
*OLEH : AISYAH BADRUL