Kenyataan Media Jabatan Peguam Negara Malaysia
Jabatan Peguam Negara mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Jun 2025 untuk membebaskan tertuduh Muhammed Yusoff Rawther daripada pertuduhan-pertuduhan terhadap beliau di akhir kes pendakwaan.
Jabatan ini menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan mengambil maklum alasan keputusan yang diberikan dalam kes tersebut. Ini adalah kerana tujuan sesuatu pendakwaan dijalankan adalah untuk memastikan keadilan tercapai berdasarkan bukti dan nas undang-undang.
Jabatan ini menyedari bahawa kes ini telah menarik perhatian umum. Sepanjang prosiding, jabatan ini bertindak menurut batas kebebasan pendakwaan dan proses undang-undang. Pendakwaan telah dijalankan berdasarkan penelitian secara berhati-hati terhadap bukti yang tersedia dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.
Jabatan ini menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat penyataan yang bersifat spekulatif atau berbaur fitnah berhubung dengan keputusan kes tersebut lebih-lebih lagi jika ianya dibuat di luar skop alasan keputusan yang diberikan oleh mahkamah. Pentadbiran keadilan hendaklah tidak dijejaskan oleh perbicaraan melalui media (trial-by-media), sindiran awam, kedudukan atau persepsi.
Jabatan ini akan meneliti keputusan kes dan mempertimbangkan semua aspek berkenaan sebelum membuat sebarang tindakan selanjutnya.
Jabatan ini kekal komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya menurut perlembagaan dengan berintegriti, saksama dan menghormati proses pengadilan.
JABATAN PEGUAM NEGARA
13 JUN 2025