13 JUN : Tahap pematuhan penyedia platform media sosial terhadap peraturan di negara ini masih belum memuaskan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata pihaknya akan bertindak tegas termasuk mengikut lajur undang-undang terhadap penyedia platform berkenaan.
Menurut MCMC, masih terdapat saluran-saluran yang menyebarkan kandungan memudaratkan dalam platform media sosial.
“MCMC mengenal pasti beberapa saluran dalam talian yang dilapor menyebarkan maklumat palsu, kandungan jelik melampau, serta unsur berbaur ancaman.
“MCMC telah melaksanakan pelbagai pendekatan, termasuk sesi rundingan dengan penyedia platform media sosial.
“Namun, tahap pematuhan dalam kalangan penyedia platform masih berada pada tahap yang tidak memuaskan, meskipun usaha berterusan telah dilakukan.
“Sehubungan itu, MCMC akan terus mengambil tindakan tegas termasuk langkah perundangan terhadap mana-mana penyedia media sosial yang gagal mematuhi peraturan,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut MCMC, langkah itu penting dalam memastikan ekosistem digital negara kekal selamat, berintegriti dan mematuhi kerangka perundangan sedia ada.
Jelas MCMC, kandungan-kandungan yang diterbitkan saluran terbabit bukan sahaja mengelirukan orang awam, bahkan ia boleh melemahkan kepercayaan orang awam terhadap institusi awam sekali gus berpotensi menggugat ketenteraman awam.
Tegas MCMC, pihaknya kekal komited dalam usaha melindungi orang awam daripada ancaman kandungan berbahaya.
“Ini adalah untuk memastikan Internet menjadi ruang yang selamat, beretika dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat,” kata MCMC.
*OLEH : HANUM RAJAK