14 JUN : Akta Majlis Media Malaysia (MMM) mula berkuat kuasa, hari ini yang menjadi satu reformasi besar buat pengamal media di negara ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata warta itu sudah ditandatanganinya bagi menguatkuasakan akta MMM.
“Akta Majlis Media Malaysia mula berkuat kuasa 14 Jun 2025 bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA).
“Kita pilih secara simbolik untuk mewartakan dan menguatkuasakan Akta Majlis Media Malaysia sempena HAWANA 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menyentuh soal penubuhan MMM, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berharap ia menjadi satu wacana yang terus aktif tanpa mengira kerajaan yang mentadbir.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pertemuan dengan 12 anggota Lembaga Pengasas MMM akan diadakan dalam masa terdekat.
“Saya berharap MMM akan menjadi satu wacana yang bermakna dan akan terus beroperasi tidak kira siapa yang menjadi kerajaan nanti,” katanya.
