14 JUN : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersedia menjadi orang tengah bagi membantu mana-mana individu atau organisasi yang mempunyai masalah akses atau kandungan pada akaun media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata MCMC membantu sesiapa sahaja dengan menghubungi platform media sosial bagi pihak mereka tanpa mengira status.
“Dari semasa ke semasa, MCMC dan saya sendiri akan didekati oleh individu atau organisasi yang akaun mereka terjejas,” katanya.
Fahmi berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) 2025 sempena sambutan Hari Wartawan Negara (HAWANA) 2025 di ibu negara, malam tadi.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengesahkan sudah menerima penjelasan Meta Platforms Inc (Meta) tentang isu akaun Facebook Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Katanya, status yang dimuat naik pada akaun Akmal sejak 2022 itu hilang namun ia tidak digodam.
“Akaun itu tidak digodam, nampaknya tiada motif lain, tetapi Meta telah menyatakan bahawa mereka sedang membantu mendapatkan semula hantaran-hantaran itu,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, Akmal menyedari semua status dari Facebook sejak 2022 hingga kini telah hilang.