4 JUN : Rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan sebarang perjalanan tidak penting ke Iran, Iraq dan Jordan susulan ketegangan yang tercetus akibat serangan Israel.
Kementerian Luar Negeri (KLN) atau dikenali sebagai Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia di rantau itu agar bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Menurut kementerian itu, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Baghdad dan Amman memantau rapat perkembangan di Timur Tengah itu.
“Ekoran peningkatan ketegangan antara Iran dan Israel, Iran serta beberapa negara di rantau berkenaan iaitu Iraq dan Jordan menutup ruang udara mereka.
“Warganegara Malaysia yang berada di rantau tersebut dinasihatkan agar bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan kepada jadual penerbangan dan membuat penyesuaian sewajarnya terhadap rancangan perjalanan masing-masing.
“Warganegara Malaysia juga dinasihatkan untuk menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke kawasan terjejas memandangkan situasi konflik yang tidak menentu,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Wisma Putra turut menasihatkan warganegara Malaysia di Iran khususnya yang berada berhampiran kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Warganegara Malaysia yang menetap atau sedang berada di Iran juga digesa untuk mengemas kini maklumat peribadi mereka dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran.
“Kementerian ini kekal komited dalam memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara melalui pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatiknya.
“Sekiranya berlaku kecemasan atau terdapat rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular, sila hubungi Kedutaan Besar Malaysia yang terdekat,” kata kementerian itu.
Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran
No. 25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb atau hubungi +98 21 8807 2444, +98 21 8807 8606, +98 933 535 2602 atau e-mel ke mwtehran@kln.gov.my/mwconsular.teh@gmail.com
Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad, Iraq
Mezzanine Floor, Babylon Rotana Hotel, Al Abassi Street, Al Jadria, Baghdad, Iraq atau hubungi +964 787 859 8775 atau +964 786 497 0087 atau e-mel ke mwbaghdad@kln.gov.my
Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan
No. 5, Hassan Al Kayed Street, Off Abai Street, Abdoun, Amman 11183, Jordan atau hubungi +962 6590 2400, +962 78590 2400 atau e-mel ke mwamman@kln.gov.my.