Kementerian Ekonomi tidak perlu dirombak

16 : Kerajaan menolak khabar angin yang tersebar mendakwa pembubaran terhadap Kementerian Ekonomi selepas Menterinya, Datuk Seri Rafizi Ramli meletakkan jawatan, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tiada keperluan untuk merombak kementerian itu.
“Saya fikir tidak ada keperluan untuk kita rombak apa-apa setakat ini dan saya ucap selamat maju jaya kepada Rafizi yang telah berkhidmat begitu baik sebagai Menteri Ekonomi.
“Saya akan putuskan pada waktunya mana-mana menteri atau kementerian menjalankan tugas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas berucap pada Persidangan Energy Asia 2025 di ibu negara, hari ini.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, tiada isu dengan Kementerian Ekonomi itu yang dulunya Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Buat masa ini, tiada isu, tiada masalah. Jadi, mari kita teruskan,” katanya.
Anwar turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Rafizi sambil menyifatkan Ahli Parlimen Pandan itu sudah menjalankan tugasnya dengan cemerlang.
“Saya akan tentukan pada masa yang sesuai, menteri atau kementerian mana yang akan mengambil alih tanggungjawab tersebut,” katanya.
Terdahulu, Rafizi meletakkan jawatan sebagai menteri selepas tewas dalam Pemilihan PKR 2025 dan keputusan itu kemudiannya diikuti Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.
*Foto : Pejabat Perdana Menteri Malaysia