16 JUN : Sebarang usaha peralihan tenaga ke arah penyahkarbon di negara ini perlu memastikan ia tidak mengabaikan golongan kurang mampu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu juga perlu dipastikan bersifat inklusif terhadap semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, usaha penyahkarbon yang mengabaikan keperluan golongan yang terdedah kepada kemiskinan hanya akan memburukkan lagi jurang ketidaksamarataan.
“Justeru itu, keselamatan tenaga mesti merangkumi bukan sahaja kestabilan bekalan tetapi juga keadilan sosial dan akses yang inklusif,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Meski usaha mengurangkan pelepasan karbon itu disifatkannya amat mencabar namun Anwar menggalakkan industri tenaga melabur bagi meningkatkan kecekapan usaha itu.
“Satu tugas yang amat mencabar memandangkan bahan api fosil masih menyumbang hampir 80 peratus daripada bekalan tenaga global,” katanya.
Dalam ucapan sama, Anwar menekankan keperluan untuk mewujudkan satu seni bina kewangan yang jelas dan koheren dalam menarik pelaburan besar ke dalam projek tenaga boleh baharu di Asia Tenggara.
Namun katanya, ia perlu disertakan dengan dasar yang bersifat realistik dan pragmatik.
“Hal ini kritikal memandangkan pada tahun 2023, Asia Tenggara hanya menerima dua peratus daripada keseluruhan perbelanjaan tenaga bersih global.
“Ini satu jurang besar, sedangkan rantau ini memiliki potensi besar dalam tenaga boleh diperbaharui dari angin di Vietnam, kuasa hidro di Laos, solar di Malaysia hinggalah kepada tenaga geoterma di Indonesia.
“Kami tidak menolak potensi ini tetapi ia memerlukan pelaburan berskala besar,” katanya.
Pada masa sama, Anwar melihat kepentingan untuk mewujudkan struktur pelaburan yang meyakinkan sektor swasta supaya modal dari pasaran global dapat disalurkan secara berkesan ke projek-projek tenaga bersih di rantau ini.
Katanya, Asia kini tidak lagi boleh sekadar bergantung kepada pendekatan konservatif sebaliknya perlu tampil dengan model baharu yang bersifat inklusif, adil dan mampan.
*Foto : Facebook Caricarz.com