‘Tiba masa yang menang rangkul semula yang kalah’

16 JUN : Barisan kepimpinan baharu PKR yang memenangi Pemilihan PKR 2025 lalu perlu memulakan langkah untuk ‘merangkul’ kembali ahli yang tewas.
Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia sudah menjadi budaya parti itu selepas pemilihan.
“Saya tegaskan kini masa untuk melihat dan melangkah ke hadapan. Yang menang mesti memulakan langkah untuk merangkul semula yang tewas. Kembalikan silaturahmi dan perkuatkan sendi perjuangan. Ini budaya PKR – ‘engage’ dan dekatkan semula, bukan terus mencemuh.
“Budaya ‘engagement’ pasca-pemilihan sudah lama saya semai – bukan sekadar untuk berdamai tetapi untuk merenung, menyusun semula kekuatan dan membina semula tiang seri perjuangan demi rakyat dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Pertemuan Bersama Presiden PKR di Lumut, Perak pada Ahad.
Dalam pada itu, Anwar menyifatkan pertemuannya dengan pimpinan negeri serta anggota PKR Perak sesuatu yang amat bermakna pasca pemilihan parti.
“Alhamdulillah, kehadiran yang begitu memberangsangkan mencerminkan semangat kesatuan yang terus menyala dalam setiap jiwa anggota PKR,” katanya.
Menurut Anwar, persaingan adalah perkara biasa bagi mana-mana organisasi dalam setiap sistem yang demokratik dan PKR tidak terkecuali.
“Dalam sebuah keluarga besar seperti PKR, pertembungan dan percanggahan idea serta pandangan harus diraikan kerana di situ lahirnya kekuatan gagasan, kematangan fikrah dan kemurnian idealisme
“Insya-Allah, kita akan terus mara sebagai satu keluarga besar PKR,” katanya lagi.

*OLEH : HANUM RAJAK