17 JUN : Tindakan Israel menyerang Iran yang meragut banyak nyawa dan merosakkan pelbagai infrastruktur terus menerima kecaman negara luar.
Anadolu Ajansi (AA) melaporkan 21 negara Arab dan Islam dalam kenyataan bersama mengecam serangan Israel sambil menyeru agar ketegangan serantau ditangani.
Pada masa sama, negara Arab dan Islam itu turut menggesa pelucutan senjata nuklear dilaksanakan tanpa pilih kasih selain menghormati undang-undang antarabangsa.
Agensi berita rasmi Mesir, MENA melaporkan kenyataan bersama itu hasil inisiatif Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty yang mengadakan rundingan bersama rakan sejawatnya dari rantau tersebut.
Antara negara yang terlibat adalah Turkiye, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, Bahrain, Brunei, Chad, Gambia, Algeria, Comoros, Djibouti, Arab Saudi, Sudan, Somalia, Iraq, Oman, Qatar, Kuwait, Libya, Mesir dan Mauritania.
Tindakan Israel menyerang wilayah Iran merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri luar terlibat menegaskan kepentingan mempertahankan kedaulatan negara, keutuhan wilayah serta prinsip kejiranan yang baik selain menggesa agar semua pertikaian diselesaikan secara aman.
Mereka turut melahirkan kebimbangan mendalam terhadap konflik yang semakin memuncak, sambil memberi amaran tentang implikasi besar terhadap keselamatan dan kestabilan rantau itu.
Justeru itu, Israel dituntut segera menghentikan segala bentuk serangan terhadap Iran dan menyeru usaha menyeluruh untuk meredakan ketegangan demi mencapai gencatan senjata.
Israel dilaporkan turut menyerang stesen TV Iran yang ketika itu sedang bersiaran langsung.