Cukai tidak popular tapi hasilnya untuk rakyat

17 JUN : Kerajaan menyedari hakikat tidak semua dasar yang dilaksanakan untuk negara ini adalah popular lebih-lebih lagi melibatkan percukaian.
Namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memilih pendekatan itu demi kemaslahatan rakyat.
Katanya, hasil daripada cukai itu akan dikembalikan kepada rakyat untuk mempertingkat kemudahan awam.
“Saya sedar tidak semua dasar yang ingin dilaksanakan ini popular terutama perluasan asas cukai. Namun demi kemaslahatan rakyat, Kerajaan MADANI memilih pendekatan yang bersasar dan adil.
“Hasil tambahan ini pula dikembalikan kepada rakyat dengan mempertingkat kemudahan awam, khususnya dalam sektor kesihatan yang semakin mendesak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyampaikan ucaptama Sasana Symposium 2025 & Pelancaran Digital Asset Sandbox di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, hari ini.
Menurut Anwar, dalam ucapannya beliau menegaskan bahawa reformasi struktural yang sering disebut itu bukan sekadar usaha menutup ketirisan atau memperbaharui institusi Parlimen.
Namun katanya, ia menuntut perubahan menyeluruh dalam lima bidang kritikal iaitu kemampanan fiskal dan tatakelola; penyasaran subsidi; reformasi cukai; pembangunan modal insan dan ketelusan institusi.
Mengulas soal reformasi, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ada juga pihak yang mahu status quo dikekalkan demi kepentingan sendiri.
“Di sebalik desakan yang mahukan reformasi berlaku serta-merta, ada juga yang ingin mengekalkan status quo demi kepentingan sendiri, bahkan sanggup mengelirukan rakyat demi menggagalkan usaha reformasi.
“Namun saya percaya seluruh jentera kerajaan akan terus mendukung agenda reformasi ini dengan tekad dan iltizam,” katanya.

*OLEH : HANUM RAJAK